Struktur Kerajaan Abbasiyah

Sepanjang pemerintahan, Kerajaan Abbasiyyah diperintah oleh 37 orang pemimpin. Sistem pemerintahannya banyak dipengaruhi oleh sistem p...


  • Sepanjang pemerintahan, Kerajaan Abbasiyyah diperintah oleh 37 orang pemimpin.
  • Sistem pemerintahannya banyak dipengaruhi oleh sistem pemerintahan kerajaan Farsi.
  • Hal ini berlaku kerana banyak orang Farsi yang memeluk agama Islam menjawat jawatan penting dalam kerajaan.
  • Berikut adalah carta pemerintahan Kerajaan Abbasiyyah:
  • Kedudukan Khalifah :
  1. Khalifah merupakan kuasa tertinggi dalam struktur kerajaan Abbasiyah. Khalifah berkedudukan autokratik dan semua perintah berpunca daripadanya. Di samping kuasa sekular, khalifah mempunyai kewibawaan spiritual (divine authority). Pada peringkat kemunduran Abbasiyah, kedudukan khalifah terus dikekalkan kerana ia dianggap punca kesahan kewibawaan dan kuasa seseorang atau sesuatu jawatan.
  • Dasar Terbuka dalam Pentadbiran:
  1. Sistem pemerintahan Abbasiyah membayangkan keadaan sebenarnya masyarakat majmuk. Kerajaan Abbasiyah didukung oleh pelbagai bangsa terutamanya bangsa Arab dan Parsi serta bangsa-bangsa lain. Walaupun pada peringkat awal Khalifah Abbasiyah daripada keturunan Arab tetapi yang memantapkan kedudukan khalifah ialah bangsa berketurunan Parsi.
  • Sistem Birokrasi:
  1. Pada zaman Abbasiyah, semua hal yang berkaitan dengan pentadbiran dilaksanakan oleh sebuah birokrasi yang berbentuk hierarki. Sistem birokrasi mencontohi Kerajaan Sasanid dengan majoriti pegawai diambil daripada kelas Mawali iaitu orang Islam yang tidak berketurunan Arab. Jawatan yang penting ialah wazir yang menjadi ketua seluruh jentera pentadbiran. Dalam pentadbiran Abbasiyah, beberapa jabatan telah ditubuhkan seperti jabatan akaun, jabatan cukai, jabatan pos dan sebagainya.
  • Pentadbiran Pusat dan Wilayah:
  1. Dalam pentadbiran wilayah-wilayah, kerajaan pusat di Baghdad mempunyai hubungan yang rapat dengan wilayah. Pentadbiran wilayah terserah kepada seorang gabenor atau amir yang dilantik dengan persetujuan wazir untuk menguruskan halhal kerajaan. Kedudukan amir bergantung kepada kebolehannya dan hubungan dengan kerajaan pusat. Amir-amir tertakluk kepada pengawasanDiwan al-Barid ( Jabatan Pos ). Setiap wilayah juga mempunyai jabatan pos sendiri dan amir wajib melaporkan semua hal ehwal kerajaan wilayah kepada ketua Jabatan Pos di Baghdad.
  • Pentadbiran Kehakiman:
  1. Dalam urusan kehakiman segala urusannya diserahkan kepada ulama-ulama yang dilantik oleh ketua hakim. Hal-hal sivil yang berkaitan dengan orang-orang bukan Islam terserah kepada ketua-ketua agama mereka sendiri manakala hal-hal orang Islam diuruskan oleh kadi. Pelantikan hakim berasaskan beberapa syarat seperti lelaki dewasa, beragama Islam, berfikiran waras, dan berpengalaman dalam bidang ilmu pengetahuan.
  • Pentadbiran Ketenteraan dan Keselamatan:
  1. Pada peringkat awal pemerintahan Abbasiyah, khalifah telah melakukan beberapa perubahan dalam organisasi ketenteraannya. Pertama, keanggotaan tentera Abbasiyah tidak terbatas kepada orang-orang Arab sahaja. Bayaran elaun dan hakhak istimewa yang pernah diberikan kepada orang-orang Arab telah diberhentikan kecuali mereka yang masih berkhidmat tetap. Kedua, tentera Abbasiyah terdiri daripada tentera bergaji tetap dan tentera sukarela yang hanya menerima bayaran sewaktu mereka bertugas dalam sesuatu kempen. Ketiga, khalifah mewujudkan tentera peribadi yang dikenali tentera Khurasan. Keempat, tentera Abbasiyah juga terdiri daripada orang-orang Turki yang berasal dari Asia Tengah. Mereka ialah mamluk yang mempunyai kedudukan sosial bertaraf hamba.
  • Pengurusan Ekonomi:
  1. Berbanding dengan Umayyah, pemerintahan Abbasiyah menggalakkan bidang pertanian dan industri untuk memperkukuh ekonomi empayar. Taraf sosial kaum tani dipertingkatkan dengan pemberian hak pemilikan tanah yang lebih adil dan pelaksanaan sistem cukai yang lebih berpatutan. Perkembangan ekonomi menyebabkan lahirnya golongan pemerintah yang tidak bergantung kepada keturunan tetapi berasaskan kekayaan dan pengetahuan ilmu.
  • Dasar Terhadap Golongan Bukan Islam:
  1. Dasar terhadap golongan dhimmi ( orang bukan Islam ) adalah lebih terbuka. Mereka menikmati kebebasan mengamalkan agama mereka sendiri. Kerap kali mereka diambil untuk berkhidmat dalam birokrasi kerajaan. Berbanding dengan pemerintahan Umayyah, golongan ini menikmati taraf sosial yang jauh lebih tinggi pada zaman Abbasiyah.
  • Peningkatan Taraf Keintelektualan:
  1. Penterjemahan, perkembagan pelbagai ilmu, dan kelahiran pelbagai mazhab pada zaman Abbasiyah menyebabkan berlakunya peningkatan taraf keintelektualan. Zaman Abbasiyah menyaksikan penterjemahan karya-karya Plato, Aristotle, Euclid, Galen, dan lain-lain ke dalam bahasa Arab yang menjadi bahasa perantaraan di seluruh Asia Barat. Sekolah dan pusat pengajian tinggi diwujudkan di seluruh empayar.
  • Hubungan Diplomatik:
  1. Pada zaman Harun al-Rasyid telah muncul empat buah kerajaan besar iaitu kerajaan Byzantine yang berpusat di Istanbul, kerajaan Bani Umayyah di Sepanyol, kerajaan Perancis di Eropah, dan kerajaan Abbasiyah di Baghdad. Hubungan kerajaan Harun al-Rasyid dengan kerajaan Perancis adalah baik. Perancis tidak mahu kerajaan Abbasiyah berbaik-baik dengan kerajaan Umayyah. Sebaliknya, hubungan kerajaaan Abbasiyah dengan kerajaan Byzantine adalah genting dan sering bermusuhan.






0 comments

Flickr Images